Rumah usang hampir roboh kini diganti baharu

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 Jan – Bekas penjawat awam di Kampung Bukit Tambun, di sini yang menghuni rumah pusaka usang yang hampir roboh telah dihadiahkan sebuah teratak baharu yang lebih selesa.

Rumah bernilai RM25,000 itu dibina baharu oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Program Melaka Rumahku oleh agensi kerajaan negeri itu.

Simbolik penyerahan rumah tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kepada Abdul Wahab Mohamad, 57, hari ini.

Sulaiman berkata, rumah itu didirikan di atas tanah seluas 350 kaki persegi yang mengandungi satu bilik tidur, ruang tamu, ruang dapur dan tandas.

KEADAAN rumah yang usang sebelum diganti baharu.

“Kos pembinaan rumah diatas tanah pusaka milik penerima ini dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Perumahan Melaka serta sumbangan agensi korporat lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui sumbangan meter elektrik.

“Manakala Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pula memberi sumbangan melalui meter air.

“Rumah ini telah disiapkan dalam jangka masa tempoh sebulan oleh LPM, dimana kos rumah ini bernilai RM25,000 termasuk lantai jubin dan plaster siling,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan rumah terbabit kepada penerima dalam Program Melaka Rumahku di Bukit Tambun, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom.

Sementara itu, bagi Abdul Wahab, dia bersyukur kerana kerajaan prihatin terhadap dirinya yang tinggal seorang diri di rumah usang terbabit.

Katanya, rumah baharu yang dia dapat itu hasil dari bantuan jiran dan penghulu kampung yang bersimpati terhadap dirinya yang tidak lagi bekerja.

“Saya bersyukurlah pada semua pihak yang terbabit terutama kepada pihak kerajaan negeri yang membina rumah ini, dapatlah saya habiskan sisa hidup yang ada dengan lebih selesa,” katanya.

Abdul Wahab memberitahu dia tinggal di rumah pusaka itu sejak bersara awal daripada kerajaan pada tahun 2006.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1715
Kongsi :
Previous post KKM kesan tiga produk kosmetik beracun
Next post 1,800 pusat servis, bengkel sertai inisiatif baucar diskaun baik pulih kenderaan mangsa banjir
Ubah saiz-+=