1,800 pusat servis, bengkel sertai inisiatif baucar diskaun baik pulih kenderaan mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kini terdapat sebanyak 1,800 pusat servis dan bengkel telah mendaftar untuk inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia iaitu 1,100 pusat servis kereta dan 700 bengkel motosikal.

Beliau berkata angka ini meningkat daripada 1,000 pusat servis yang diumumkan semalam berikutan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bernilai sehingga RM1,000.

“Saya juga ingin membuat pencerahan bahawa kerajaan akan terus meningkatkan bilangan pusat servis dan bengkel yang terlibat, terutamanya untuk motosikal dengan menambah pusat servis dan bengkel yang berdaftar di peringkat pihak berkuasa tempatan dan daerah.

“Ini bagi memudahkan urusan rakyat yang terjejas akibat banjir dapat memanfaatkan Baucar Diskaun Automotif ini. Yang penting sekali, kita nak senangkan rakyat,” katanya sempena pendaftaran Bantuan Keluarga Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Duta di sini hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa pemilik kenderaan tidak perlu membuat sebarang permohonan dan mereka boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar yang sah untuk syarikat automotif yang terlibat jika kenderaan mereka rosak akibat banjir.

Katanya baucar ini akan digunakan secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar yang sah.

“Saya juga nak mengingatkan bahawa tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022.

“Mangsa banjir sudah boleh mula membuat tuntutan daripada pusat servis/pengedar yang sah dan bengkel-bengkel yang berdaftar untuk mengelak sebarang kesulitan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan berharap inisiatif Baucar Diskaun Automotif ini dan bantuan lain seperti rebat elektrik, Bantuan Wang Ihsan, baucar barangan elektrik dan banyak lagi akan dapat membantu mangsa banjir untuk bangun semula secepat mungkin.

Katanya kerajaan telah mendapat kerjasama daripada syarikat automotif yang menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus bagi kerja-kerja pembaikan dan kos tunda kenderaan secara percuma.

“Dalam hal ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Bhd (PERODUA) dan Proton Holdings Bhd yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas kos alat ganti.

“PERODUA juga menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma. Inilah semangat Keluarga Malaysia yang patut dicontohi,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

935
Kongsi :
Previous post Rumah usang hampir roboh kini diganti baharu
Next post Melaka sedia 60 unit rumah percuma buat asnaf, fakir miskin – KM
Ubah saiz-+=