Runtuhan cerun di Taman Bukit Berlian diisytiharkan kawasan bencana

SEREMBAN, 2 Dis – Kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Berlian 5, Taman Bukit Berlian, Lobak dekat sini diisytiharkan sebagai kawasan bencana, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan Datuk Razali Ab Malik.

Beliau berkata runtuhan cerun tersebut berpunca daripada aliran air luar biasa menyebabkan tanah menjadi lembut, seterusnya berlaku pergerakan.

Katanya siasatan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendapati masih berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi untuk menyebabkan runtuhan lebih besar.

“Sehingga 12 tengah hari semalam, rekahan jalan akibat runtuhan telah semakin signifikan iaitu daripada beberapa inci lebar kepada lebih kurang dua kaki lebar.

“Hujan lebat pada sebelah petang dan pemantauan di tempat kejadian pada 8.00 malam tadi, tanah semakin mendap dan rekahan telah menjadi lebih besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Razali berkata akibat hujan berterusan di kawasan Lobak pada 4 pagi semalam, berlakunya tanah runtuh di Jalan Bukit Berlian 5, Taman Bukit Berlian yang mengakibatkan tiga kereta jatuh ke kaki cerun.

Beliau berkata terdapat 12 rumah di Jalan Berlian 5 tersebut dengan jumlah isi keluarga seramai 47 orang terjejas akibat kejadian itu namun tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan.

“Berdasarkan penilaian awal pihak bomba, 12 unit rumah di kawasan berlaku runtuhan cerun adalah berisiko dan tidak selamat untuk diduduki.

“Semua penduduk terlibat bersetuju keluar dari kediaman masing-masing sehingga siasatan lengkap dijalankan dan kerja baik pulih cerun selesai bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa,” katanya.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban telah diaktifkan dan boleh dihubungi di talian 06-6011038 dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) beroperasi di lokasi dan kawalan di tempat kejadian akan diuruskan mengikut mekanisme pengurusan bencana negara.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1174
Previous post Taja anak-anak kurang berkemampuan ke universiti
Next post Jemaah Menteri diumum lewat petang ini – PM Anwar