Taja anak-anak kurang berkemampuan ke universiti

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Disember – 10 penghuni Institusi Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Melaka Tengah bakal menerima penajaan untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Melaka Tengah, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pembiayaan bagi tujuan itu adalah menerusi kutipan pelbagai aktiviti amal dianjurkan pihaknya.

Katanya, hasil tayangan amal filem ‘Daddyku Gangster’ di sebuah pusat beli-belah malam tadi pihaknya berjaya mengutip lebih RM 38,000.

“Kutipan adalah hasil jualan tiket yang ditetapkan mengikut gred dan tempat duduk. Alhamdulillah, kehadiran ‘full booked’, selain itu sumbangan daripada masyarakat juga amat memberangsangkan.

“Insya-Allah hasil kutipan malam ini dan program terdahulu kita gunakan untuk menaja 10 penghuni institusi kebajikan kanak-kanak khusus dalam Daerah Melaka Tengah untuk menyambung pengajian pada 2023,” katanya .

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menonton filem tayangan amal ‘Daddyku Gangster’, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Burhanuddin Bachik.

Dalam majlis ringkas selepas tayangan amal tersebut, Akramuddin sempat menyerahkan komputer riba tajaan pihaknya kepada penghuni Asrama Akhlak Bukit Baru, Nur Sehrish Saira Abdullah, 18.

Nur Sehrish yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu meluahkan rasa syukur atas sumbangan itu.

“Alhamdulillah saya kini sedang mengikuti pengajian peringkat diploma dalam kursus Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post PRU15: Tiga pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman
Next post Runtuhan cerun di Taman Bukit Berlian diisytiharkan kawasan bencana
Ubah saiz-+=