‘Sakit mata’ tengok rakan buang sampah merata-rata

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TANJUNG BIDARA 19 Jun – Demi memastikan alam sekitar terpelihara, tiga ahli Kelab Pencinta Alam Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar (SMKKB), Melaka tidak teragak-agak menegur rakan sekolah yang gemar membuang sampah.

Itu amalan dipraktikkan N Barathan, 16, Muhammad Izat Hasif Mohd Hasmizan, 17, dan adiknya, Muhammad Faiq, 14, yang cintakan alam sekitar selain turut mengambil inisiatif untuk mengutip sampah yang dijumpai bersepah di kawasan sekolah.

Barathan berkata, dia tidak akan membiarkan sampah mengotori kawasan sekolah dan berasa bersalah jika tidak mengutipnya.

“Bapa saya kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bapalah yang mendidik saya supaya sentiasa menghargai alam sekitar yang terhindar daripada pencemaran,” katanya ketika menyertai Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di pantai peranginan Padang Kemunting, di sini semalam.

Program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu dirasmikan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

Yang turut hadir, EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Ketua Pegawai EKsekutif (Teknikal) SWCorp, Ir Zulkifli Tamby Chik serta Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Kakitangan SWCorp mengumpulkan sampah pada Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di pantai peranginan Padang Kemunting, dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Seramai kira-kira 100 orang mengutip sampah di sepanjang pantai berkenaan bagi memelihara kebersihan pantai yang menjadi tumpuan pelancong.

Muhammad Izat berkata, dia menyertai kempen berkenaan sejajar konsep kebersihan yang dianjurkan Islam yang menghendaki manusia agar mencintai segala yang bersih dan menghindari sifat suka membuat kekotoran.

“Agama mengajar kita agar sentiasa bersih bukan setakat ketika beribadat, malah dalam segenap penjuru kehidupan dan konsep itulah yang saya sebarkan dalam kalangan rakan sekolah untuk bersama-sama memelihara kebersihan.

Muhammad Faiq berkata, dia menyertai kelab itu bukan kerana abangnya berbuat demikian, sebaliknya didorong oleh kecintaannya terhadap penjagaan alam sekitar daripada dirosakkan oleh tangan manusia sendiri.

Katanya, setiap kali ada kempen kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1487
Kongsi :
Previous post Ismail Sabri ucap takziah kepada keluarga Adibah Noor
Next post Pendaftaran OKU cacat penglihatan secara dalam talian dibuka hari ini
Ubah saiz-+=