Sorting by

×

Pendaftaran OKU cacat penglihatan secara dalam talian dibuka hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KOTA BHARU, 19 Jun – Pendaftaran keahlian Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) secara dalam talian dibuka hari ini, kata Presidennya Mohammed Nazari Othman.

Beliau berkata inisiatif itu dilakukan selari dengan arus pemodenan teknologi yang dapat memudahkan dan meminimumkan pergerakan golongan berkenaan untuk memohon keahlian.

“Dengan adanya sistem ini, kita sasarkan pendaftaran ahli mencecah lebih 300 orang setahun berbanding sebelum ini yang menggunakan pendaftaran secara manual sekitar 100 orang ahli sahaja setahun. Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web sbm.org.

“Oleh itu, saya harap lebih ramai yang akan berdaftar dengan pihak kami kerana terdapat banyak manfaat akan diperoleh,” katanya yang menambah ahli SBM di seluruh negara setakat ini sebanyak 7,490 orang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Perasmian dan Jamuan Makan Malam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan SBM (Edisi Ke-14) 2022, di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi.

Majlis berkenaan melibatkan penyertaan lebih 350 peserta terdiri daripada golongan OKU cacat penglihatan dan ahli SBM seluruh negara.

Mohammed Nazari berkata antara manfaat yang diperoleh ahli SBM adalah skim kebajikan, skim pendidikan dan peluang pekerjaan.

“Antara syarat dikenakan berumur 18 tahun ke atas, selain pemegang kad OKU kategori cacat penglihatan kerana ia juga memudahkan pihak kami menjejaki ahli sekiranya ingin memberi bantuan atau pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Mumtaz berkata kerajaan negeri memberi komitmem sepenuhnya bagi memastikan golongan OKU di Kelantan mendapat hak sewajarnya selain bercadang untuk memberi sumbangan bernilai RM10,000 bagi pembinaan pejabat SBM di Kelantan dalam masa terdekat.

“Saya berharap badan-badan bukan kerajaan di negeri ini, termasuklah SBM dapat membantu saya dalam mencapai aspirasi ini, seiring dengan dasar kerajaan sedia ada termasuklah agenda untuk memperkasa Akta OKU 2008 yang seharusnya diberi penekanan dalam pembangunan OKU di negara ini serta tidak terkecuali negeri Kelantan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1280
Kongsi :
Previous post ‘Sakit mata’ tengok rakan buang sampah merata-rata
Next post ‘Rumah ini hadiah Aidiladha’
Ubah saiz-+=