Sambut merdeka seperti hari raya

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PANTAI KUNDOR 30 Ogos – Menjadi rutin bagi Rohana Hashim, 65, bersama anak-anaknya menghias kediaman mereka di Kampung Pantai Rombang, di sini, dengan pelbagai hiasan bertemakan kemerdekaan setiap kali Ogos menjelma.

Sejak 10 tahun lalu, mereka anak-beranak menghias bahagian luar rumah dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri berdasarkan tema sambutan Hari Kebangsaan.

Pada kebiasaan Rohana menguna pakai semula bendera yang sama setiap tahun namun kali ini dia membeli sejumlah Jalur Gemilang baharu kerana teruja mengambil bahagian dalam Pertandingan Rumah Ceria Merdeka.

photo1661759342
ANTARA hiasan yang dihasilkan, Rohana Hashim, 65 sempena Pertandingan Rumah Ceria Merdeka anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Rombang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ibu kepada lapan anak itu berkata, pertandingan berkenaan julung kalinya dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Rombang.

“Kami anak-beranak hias rumah seperti mahu menyambut hari raya, ini satu kemestian yang menjadi rutin tahunan.

“Jika tidak hias rumah, anak-anak akan tegur dan merekalah sebenarnya yang beriya-iya mengingatkan saya untuk pasang Jalur Gemilang sekitar rumah.

“Meskipun bukan lahir pada tanggal keramat 31 Ogos, saya juga anak merdeka yang lahir pada 1957. Syukur tahun ini genaplah usia saya 65 tahun,” katanya ketika ditemui.

photo1661759293
ROHANA Hashim, 65 bersama cucunya, Muhammad Thaqif Rizqi, 6 memakai busana bermotifkan Jalur Gemilang sempena Pertandingan Rumah Ceria Merdeka anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Rombang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sebagai nenek, setiap kali Ogos Rohana juga akan menjahit baju atau busana 11 cucu-cucunya untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

Pertandingan Rumah Ceria Merdeka membabitkan penyertaan 13 buah rumah dengan proses menilai kreativiti setiap pemilik oleh juri berlangsung semalam dan pemenang bakal diumumkan pada malam ambang Merdeka 30 Ogos (malam ini).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2363
Kongsi :
Previous post 100 pokok hijaukan 8 sekolah
Next post Rumah Ceria Merdeka jadi acara tahunan
Ubah saiz-+=