Sorting by

×

Sambutan Hari Malaysia bantu pacu pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 7 September – Penganjuran Hari Malaysia peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir bakal memacu sektor pelancongan negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, tema era 60-an yang diangkat pada sambutan itu juga membawa keunikan tersendiri untuk menggalakkan lebih ramai warga Melaka dan pelancong untuk turut serta merasai pengalaman sambutan yang julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia itu.

“Pemilihan Melaka memang sangat bertepatan memandangkan Melaka merupakan tempat di mana segala-galanya bermula.

“Bagi saya, tema yang dipilih iaitu berpakaian era 60-an ini mungkin salah satu intipati tarikan baharu supaya kita dapat menarik pelancong hadir dengan berpakaian seperti orang-orang dahulu.

“Tapi apapun, kita minta yang datang agar berpakaian sopan kerana salah satu prinsip Rukun Negara ialah kesopanan dan kesusilaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani memaklumkan, sebanyak 48,000 bilik hotel masih tersedia untuk pelancong datang dan meraikan sambutan Hari Malaysia di Melaka pada 16 September ini.

Jumlah itu, katanya,cukup untuk menampung puluhan ribu pengunjung yang dijangka hadir pada majlis sambutan itu.

“Insya-Allah dengan pelbagai promosi dan kerja keras oleh semua pemain industri pelancongan kita mampu menarik lebih ramai pelancong hadir, sekali gus mencapai sasaran 5.6 juta pelancong tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2376
Kongsi :
Previous post Polis kesan lelaki intai guru wanita dalam tandas
Next post Misteri penemuan dua mayat dalam Perodua Kancil
Ubah saiz-+=