Sarat mengandung bukan penghalang cipta kejayaan

AYER KEROH 6 Disember – Menamatkan pengajian dua hari sebelum kelahiran cahaya mata pertama membawa rezeki bermakna buat seorang ibu apabila dinobat sebagai penerima anugerah kecemerlangan keseluruhan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Melaka (UNIMEL) ke-24, hari ini.

Penerima tunggal Anugerah Munshi Abdullah, Nur Fairus Mohd Yatim,35, berkata, biarpun sarat mengandung anak pertama, keadaan itu bukan menjadi penghalang untuknya meneruskan penyelidikan dalam pengajian Sarjana Sains Pengurusan.

Dia yang juga merupakan mantan Penolong Jurutera UNIMEL dan pernah berkhidmat selama dua tahun di universiti itu sanggup berhenti kerja demi melanjutkan pengajiannya seta memfokuskan sepenuh masanya di rumah dengan kerja-kerja penyelidikan.

“Kajian itu sebenarnya melibatkan diri saya sebab semasa saya ditugaskan sebagai penolong jurutera saya keguguran dua kali jadi saya berhenti kerja untuk tumpukan kepada keluarga.

“Semasa tengah mengandung anak sulung ini memang banyak ilham ketika berada di rumah yang mana saya ketika itu merupakan suri rumah.

“Alhamdulillah dua hari sebelum melahirkan anak saya berjaya menamatkan pengajian saya dengan menjalankan penyelidikan bertajuk Wanita Dalam Berkerjaya di mana ia lebih memfokuskan hak wanita untuk terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Nur Fairus merupakan antara graduan menerima Ijazah Sarjah konvokesyen yang disempurnakan Canselor UNIMEL, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam dalam sesi sidang pertama diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Pada konvokesyen itu, dia antara 18 graduan menerima Ijazah Sarjana manakala tiga lagi bergelar Doktor Falsafah (PhD), 616 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 2,408 graduan Diploma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1210
Previous post ARP medan remaja kenal pasti kebolehan, cabar diri
Next post Kerajaan import bekalan telur dari sumber luar, tampung keperluan dalam negara