ARP medan remaja kenal pasti kebolehan, cabar diri

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 6 Disember – Peluang menyertai Anugerah Remaja Perdana (ARP) bukan semata-mata untuk pengtauliahan tahap, bahkan ia turut membantu peserta mengenal pasti kebolehan dan mencabar diri sendiri.

Penerima Tahap Perak ARP, Amirul Arsyad Ahmad Shahnaz, 16, berkata, penyertaan di dalam program ARP adalah suatu pengalaman yang amat berharga, terutama dalam membantunya memperbaiki diri.

Dia yang juga pelajar Kolej Yayasan Saad (KYS) berkata, penyertaannya pada tahun ini adalah kali kedua selepas kali pertama dua tahun lalu yang mana membolehkan dia ditauliahkan Tahap Gangsa.

“Pengalaman kali ini amat berbeza dari sebelum, kerana pada ketika itu kebanyakkan komponen perlu dilengkapkan secara dalam talian akibat pandemik COVID-19. Hanya pada tahun ini barulah banyak aktiviti dapat dilakukan dan merasai suasana sebenar.

“Apa yang boleh dikatakan program ini bukan aktiviti biasa-biasa yang hanya pergi dengar ceramah orang bercakap tetapi kita sendiri yang akan keluar untuk lakukan aktiviti,” katanya.

Menurutnya, menerusi ARP juga dia dapat melihat sendiri tahap keupayaan diri yang sebelum ini dianggap tersembunyi.

photo1670304363
AMIRUL Arsyad Ahmad Shahnaz menerima pentauliahan tahap perak daripada Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri VP Shanmugam.

“Banyak benda baharu yang saya sendiri sebelum ini tidak pernah terfikir akan buat seperti dalam melengkapkan komponen penjelajahan lasak, contohnya awalnya saya sendiri tidak yakin dengan diri sendiri untuk mendaki bukit sejauh lima kilometer pada waktu malam tetapi akhirnya saya berjaya.

“Malah dengan pembabitan ini juga saya sudah mempunyai banyak kemahiran ‘survival skill’ selain mengajar pentingnya semangat kerjasama dalam satu pasukan.

“Selepas ini, insya-Allah saya sasarkan untuk Tahap Emas pula meskipun komponennya lebih mencabar namun saya akan cuba,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Sementara itu, seorang lagi penerima Tahap Perak Muhammad Raif Kamarul Anwar, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad pula berkata, meskipun pada awalnya penglibatanya dalam ARP atas cadangan ibunya, ternyata selepas dua kali mengikutinya ia membawa banyak perubahan dalam dirinya.

“Program ini sebenarnya memberi impak yang sangat positif antaranya kami dilatih untuk berdepan dengan masyarakat, mencari bakat sendiri dengan memasak dan melukis termasuk dalam bidang sukan. Ini sekali gus menjana generasi muda yang sangat baik.

“Penyertaan dalam ARP ini tidak membebankan kerana peserta mempunyai tempoh masa yang panjang untuk melengkapkan komponen, jadi kita boleh uruskan sebaiknya dengan bantuan guru yang terlibat,” katanya yang turut menyimpan impian untuk ditauliahkan Tahap Emas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2170
Kongsi :
Previous post Ketua Balai Polis didenda RM6,500 lepaskan pemilik premis langgar SOP PKP
Next post Sarat mengandung bukan penghalang cipta kejayaan
Ubah saiz-+=