Sasar bina lebih banyak PAWE

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PENGKALAN BATU 8 Februari – Kerajaan Negeri sedang meneliti dan mengkaji lokasi baharu yang bersesuaian untuk meluaskan lagi inisiatif Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Melaka.

Mengulas lanjut, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata setakat ini setiap parlimen di Melaka mempunyai tujuh PAWE.

Katanya, Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 28 PAWE akan ditubuhkan bagi mengurangkan kebergantungan warga emas kepada institusi kebajikan.

“Baru-baru ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam lawatannya ke Melaka menyatakan inisiatif peluasan PAWE di peringkat komuniti seluruh negara.

“Melaka akan menjadi negeri yang menua pada tahun 2030, jadi usaha membangunkan PAWE kita buka kepada mana-mana komuniti yang ingin turut bersama-sama menjayakan inisiatif ini. Suka juga saya maklumkan bahawa PAWE ini boleh mohon geran RM50,000 di bawah kementerian mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program penyerahan hamper sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Haemodialisis Yakin Prima Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Haemodialisis Yakin Prima Jaya, Noor Izatullelmy Mat Saad.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Nancy mengenai inisiatif peluasan PAWE di peringkat komuniti yang dilihat mampu mengatasi kepadatan penghuni di Rumah Seri Kenangan di negara ini.

Nancy berkata ia juga sebagai usaha memastikan golongan warga emas terus produktif dan dapat menjalani kehidupan harian yang lebih selamat serta selesa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post Segera selesaikan isu projek perumahan Bukit Serindit
Next post Menara Jam Masjid Tanah jadi Muzium Pos
Ubah saiz-+=