Menara Jam Masjid Tanah jadi Muzium Pos
AYER LIMAU 8 Februari – Bangunan Menara Jam Masjid Tanah yang juga ikon perpaduan kaum dan kemerdekaan dicadangkan untuk dijadikan Muzium Pos.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, selain diangkat sebagai khazanah warisan negeri, usaha itu bakal memperkasakan lagi sektor pelancongan dan menambah satu lagi tarikan sekitar Masjid Tanah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, cadangan itu amat kena serta sesuai kerana bangunan berkenaan pernah dijadikan pejabat pos sekitar tahun 70-an.
“Setakat ini perbincangan sudah diadakan bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berhubung cadangan menjadikan bangunan itu sebagai sebuah destinasi tarikan pelancong di Masjid Tanah.
“Kita sedang menilai semula untuk diusulkan kepada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) agar hasrat ini mampu menjadi kenyataan.
“Diharap usaha ini mampu dicapai kerana bangunan dilengkapi dengan menara jam ini mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Lokasinya juga tidak jauh dari Masjid Lama Masjid Tanah yang juga menyimpan nilai sejarah amat berharga,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
MHI sebelum ini melaporkan, menara itu menjadi simbolik perpaduan kerana kos pembinaannya adalah hasil kesepatan tiga kaum utama di pekan Masjid Tanah suatu ketika dahulu sebagai simbolik memperingati hari kemerdekaan negara yang diperjuangkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.