Melaka perkenal ‘vending machine’ kitar semula

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenalkan Smart Reverse Vending Machine (RVM) Plus bagi membantu rakyat di negeri ini mengamalkan budaya kitar semula.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, lebih menarik mesin berkenaan akan memberi pulangan wang tunai kepada pengguna.

“RVM Plus ini salah satu teknologi hijau baharu yang diperkenalkan di Negeri Melaka, untuk permulaan kita akan tempatkan mesin ini di empat lokasi tumpuan pelancong.

“Ini adalah mesin kitar semula, uniknya dengan mata (point) yang kita peroleh ia boleh ditukar kepada nilai wang ringgit.

“Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR daripada aplikasi yang dimuat turun dalam telefon dan masukkan barang kitar semula untuk mendapat bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Majlis Penghargaan Asean Clean Tourist City 2024 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Rais berkata, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan teknologi itu dengan lebih meluas kawasan yang lain.

“Saya yakin usaha MBMB ini akan menjadikan Melaka sebagai negeri bebas karbon dan menggalakkan rakyat membudayakan kitar semula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

760
Kongsi :
Previous post Menara Jam Masjid Tanah jadi Muzium Pos
Next post Melaka laksana enam ujian kualiti panggilan suara perbaiki ‘drop call’
Ubah saiz-+=