Saya tidak pernah hadiri sebarang mesyuarat mengenai TIA – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner, yang beliau menghadiri mesyuarat mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada tahun 2009.

“Merujuk kepada artikel Free Malaysia Today (FMT) berkenaan testimoni Tim Leissner dalam perbicaraan di Amerika Syarikat, saya ingin mengesahkan bahawa saya tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada tahun 2009 bersama DYMM Sultan Terengganu dan individu-individu lain yang disebut dalam kenyataan tersebut,” katanya dalam satu catatan ringkas di laman Facebook beliau, hari ini.

FMT melaporkan bahawa nama Tengku Zafrul telah disebut dalam testimoni Leissner pada perbicaraan seorang lagi bekas pengurus bank itu, Roger Ng berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang sedang berjalan di Amerika Syarikat (AS).

Leissner yang merupakan saksi dalam perbicaraan itu menceritakan kepada Mahkamah Persekutuan di New York tentang satu mesyuarat peringkat tinggi mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya menjadi 1MDB.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat FMT, Leissner mengambil maklum satu emel daripada Ng berhubung satu mesyuarat TIA pada 2009.

Dalam emel itu, Ng memaklumkan selain dirinya individu lain yang akan menyertai mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho; Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank, Ramli Ismail dan Tengku Zafrul, yang ketika itu merupakan pengarah di Kenanga, kata laporan itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

979
Kongsi :
Previous post Tujuh individu ditahan pecah tabung masjid
Next post Vaksin Sinovac untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun diluluskan – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=