Sebahagian daripada peruntukan RM20 juta untuk bantu inap desa terkesan banjir

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SEGAMAT, 7 Jan – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan penerokaan kawasan pelancongan baharu berjumlah RM20 juta untuk membantu inap desa dan kawasan pelancongan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian berkenaan Norazman Othman berkata peruntukan itu akan disalurkan selepas pengusaha inap desa yang terjejas dikenal pasti.

Beliau berkata setakat ini pihaknya mengenal pasti beberapa kawasan seperti Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut dan Dengkil di Selangor serta sebuah inap desa di Janda Baik, Pahang.

“Peruntukan itu untuk menaik taraf dan meneroka kawasan baharu pelancongan, tetapi dalam keadaan banjir ketika ini, kita beri keutamaan kepada tempat pelancongan dan inap desa yang terjejas.

“Di kawasan Johor ini, beberapa kawasan inap desa di Segamat dan Kota Tinggi yang terjejas akibat banjir turut dibantu selepas dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas menyertai misi bantuan pasca banjir MOTAC di Kampung Spang Loi di sini, hari ini.

Norazman berkata 13,000 sukarelawan yang berdaftar di bawah MOTAC sedang diatur gerak dalam membantu proses pasca banjir ini termasuk kerja-kerja pemulihan dokumen di premis-premis kerajaan yang dinaiki air.

Sementara itu Pegawai Daerah Segamat Ashrin Kamal Hashim berkata keadaan air di daerah itu dijangka mula surut dalam tempoh dua atau tiga hari akan datang susulan keadaan cuaca yang panas sejak empat hari lepas.

“Dengan keadaan cuaca cerah ini, kita harapkan air akan surut. Setakat hari ini, 32 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup manakala 36 PPS masih lagi dibuka melibatkan 2,479 orang mangsa banjir,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

894
Kongsi :
Previous post Menara pemantau APM di pantai Batu Feringghi tumbang
Next post Harga ayam, telur dijangka naik bulan depan
Ubah saiz-+=