SEDIA PERKHIDMATAN LIMA BINTANG UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 28 November – Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran agar dapat memberikan perkhidmatan bertaraf lima bintang kepada masyarakat khususnya rakyat Negeri Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad berkata, ia penting memandangkan PBT adalah antara agensi atau pihak yang paling dekat dengan rakyat.

“PBT merupakan kerajaan peringkat ketiga atau ‘third tier government’ yang paling dekat dengan rakyat.

“Justeru itu, saya kira perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat haruslah bertaraf lima bintang serta memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bil.9/2024, di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Azhar berkata, bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pelbagai program serta aktiviti telah berjaya dilaksanakan dan MBMB antara organisasi yang memainkan penting menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Pelbagai program dan aktiviti telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun bersempena TMM2024 dan MBMB adalah diantara organisasi yang memainkan peranan sangat penting.

“Antaranya adalah memastikan Melaka sentiasa indah dan ceria bagi menggamit pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Azhar turut berharap supaya penjawat awam di negeri ini khususnya semua warga kerja MBMB terus bekerja dengan berdedikasi dan penuh berintegriti demi Negeri Melaka tercinta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

63
Kongsi :
Previous post 8 TERMASUK 3 WANITA DIPERCAYAI PENGIKUT ‘MILLAH ABRAHAM’ DITAHAN DI JASIN
Next post WTD 2025 BAWA IMPAK BERGANDA UNTUK MELAKA
Ubah saiz-+=