Sedia ruang, latih usahawan digital 

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat
SERI NEGERI 5 Mac – Kerajaan Negeri perlu menyediakan ruang dan latihan bersesuaian bagi meningkatkan ilmu pengetahuan para usahawan di negeri ini ke arah pendigitalan.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, ia bagi memastikan usahawan di Melaka lebih kompetitif, sekali gus menjadi usahawan digital yang berdaya saing.
“Selari dengan perkembangan teknologi, para usahawan Negeri Melaka digalakkan untuk menggunakan platform digital dalam memperluaskan pasaran dan memperkembangkan perniagaan mereka.
“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan ruang serta latihan bersesuaian untuk meningkatkan pengetahuan mereka supaya lebih kompetitif dan menjadi usahawan digital yang berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Persidangan DUN Melaka di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kempimpinan Kerajaan Negeri yang sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, penjawat awam, anggota-anggota keselamatan, badan-badan berkanun dan NGO serta pihak swasta kerana sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Kemakmuran dan keselamatan yang sedang kita nikmati tidak akan berlaku tanpa koordinasi dan persefahaman semua pihak.
“Negeri Melaka akan terus maju atas sumbangan daripada setiap lapisan masyarakat kepada kerajaan pentadbiran negeri dan badan-badan yang bertangunggjawab dalam masyarakat keseluruhan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post Realisasi Melaka Negeri Mesra Pelabur, Invest Melaka perlu proaktif
Next post Melaka perlu perkukuh sekuriti makanan, ambil kira isu dan cabaran
Ubah saiz-+=