Sekolah dibenar periksa sijil vaksinasi guru

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER MOLEK 1 Nov – Pihak sekolah diarahkan untuk membuat pemeriksaan sijil vaksinasi guru dalam aplikasi Mysejahtera bagi mengelakkan penipuan bermula, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat dan terjamin.

Katanya, memandangkan hari ini adalah hari terakhir bagi semua penjawat awam diarahkan untuk mendapatkan vaksinasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat tegas mengenai arahan itu.

“Mulai hari ini, pihak sekolah akan memeriksa sijil digital vaksinasi untuk memastikan setakat mana guru yang betul divaksin, maknanya periksa satu persatu sijil vaksinasi untuk memastikan yang mana sudah divaksinkan, mana yang tidak.

“Sebab kita tidak mahu ada kes-kes tertentu yang mana ada kes di mana (guru mengatakan) ada vaksin tetapi (sebenarnya) tidak divaksinkan dan sebagainya.

“Jadi kita akan pastikan setiap guru itu akan disemak sijil vaksin mereka oleh pihak sekolah bagi memastikan data terkini (jumlah guru yang divaksin dan tidak divaksin) yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, langkah dibuat itu sejajar dengan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bakal mengenakan tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja.

Jelasnya, sejak pekeliling itu dikeluarkan jumlah guru yang enggan divaksin semakin menunjukkan pengurangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: Srikandi Bersatu serah enam nama untuk dicalonkan
Next post PRN Melaka: 70 peratus kempen PAS melalui media sosial
Ubah saiz-+=