PRN Melaka: Srikandi Bersatu serah enam nama untuk dicalonkan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PUCHONG, 31 Okt (Bernama) — Srikandi Bersatu menyerahkan enam nama untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata nama-nama calon dari parti itu, yang terdiri dari anak tempatan dan muka baharu, telah diserahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

“Kami harap akan diberi peluang kepada Srikandi untuk menjadi calon, dan bukan sekadar calon tapi yang boleh menang dan dapat berkhidmat untuk rakyat di Melaka.

“Pada masa ini tiada wakil rakyat daripada Srikandi di Melaka, jadi semua (calon) muka baharu,” katanya kepada media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) mobil di sini hari ini.

Ditanya mengenai jumlah calon wanita bagi PN, Ketua Wanita PN itu berkata setakat ini perkara berkenaan masih belum diputuskan.

“Kita serahkan juga nama calon lain (wanita) daripada PN dan kami harap ia akan mendapat sokongan dari semua supaya lebih ramai wakil rakyat dalam kalangan wanita, dan saya yakin jika diberi peluang mereka dapat menjalankan tugas dan tanggunggjawab dengan baik.

“Jumlah (calon) belum ditentukan kerana ada beberapa menuntut kerusi antara parti dan ia masih lagi dalam proses,” katanya.

Sebelum ini, PN menerusi Muhyiddin berkata, gabungan itu akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1571
Kongsi :
Previous post Hanya 3 peratus rakyat Malaysia mampu tampung kehidupan lepas bersara – KWSP
Next post Sekolah dibenar periksa sijil vaksinasi guru
Ubah saiz-+=