Sekolah rendah agama akan dibina limpahan di Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU 22 Julai – Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) baharu akan dibina di Kampung Ayer Limau sekali gus mampu membawa limpahan dalam sektor pendidikan di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya komited membangunkan insiatif itu untuk memberi keselesaan pelajar dan guru sekolah yang sebelum ini terpaksa meminjam dan menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Limau dalam sesi pembelajarannya di sebelah petang.

Jelasnya, perkara itu perlu segera dibangunkan dengan infrastruktur bangunan baharu bagi memastikan sistem pembelajaran dan pengajaran (P&P) pelajar sekolah tidak terganggu.

“SRAJ Ayer Limau buat masa ini terpaksa berkongsi bangunan dan menumpang di SK Ayer Limau pada waktu petang selepas sesi sekolah itu tamat di sebelah pagi dan ini menyulitkan apabila kemudahan yang ada terpaksa berkongsi.

“Setakat ini kita telah memiliki sebuah bidang tanah yang diwakafkan oleh seorang individu dan kini ia di dalam proses permohonan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan sebuah sekolah yang dilengkapi dengan enam buah kelas, bilik guru, perpustakaan dan kantin.

“Tanah yang diwakafkan itu terletak tidak jauh dari SK Ayer Limau dan ia juga mempunyai sebuah surau yang turut diwakafkan sekali gus akan memberi manfaat kepada para pelajar dan guru. Kita menganggarkan peruntukan untuk membina sekolah baharu ini adalah sekitar RM2 hingga RM3 juta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, pihaknya akan memastikan perjalanan pembinaan sekolah itu akan memberi nafas baharu dalam sistem pendidikan agama yang membawa manfaat kepada tiga buah kampung sekitar kawasan itu.

“Pembangunan pendidikan ini penting kerana hari ini pun ada juga sesetengah pelajar terpaksa mendapatkan pendidikan di sekolah sekitar Masjid Tanah, ia agak jauh.

“Kita yakin pembangunan ini mampu membawa pembaharuan dalam sistem pendidikan Ayer Limau dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar termasuk di Kampung Bukit Apit dan Kampung Pinang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1433
Kongsi :
Previous post Kemalangan empat kenderaan di PLUS punca kesesakan 5 km
Next post Rancang baik pulih 30 kediaman B40
Ubah saiz-+=