Selidik dulu bang, sebelum marah

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

LENDU 22 September – UMNO Bahagian Masjid tanah membuat lapan laporan polis terhadap pemilik sebuah akaun Facebook (FB) yang didakwa melemparkan tohmahan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hantaran di FB berkenaan dipercayai berkaitan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai hingga menyebabkan Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) hilang slot beraksi di Piala Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, apa yang dikesalkan adalah penggunaan bahasa dan kenyataan biadap oleh pemilik akaun berkenaan yang disifatkan sebagai tidak sepatutnya berlaku.

“Jika ada isu sekalipun tidak sepatutnya membuat kenyataan biadap, penggunaan bahasa melambangkan budaya kita. Apatah lagi bahasa sedemikian ditujukan kepada pemimpin negeri kita iaitu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

“Meskipun difahamkan hantaran itu sudah dipadamkan kami mendesak pemilik akaun berkenaan membuat permohonan maaf kepada Ketua Menteri kerana kenyataan sedemikian menjatuhkan maruah beliau,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah Dayang Senandong Moomin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)  Kuala Linggi Rosli Abdullah.

Abdul Hakim menggesa  Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan berhubung perkara itu bagi mengelakkan perkara sama daripada terus berulang.

Menurutnya, setakat jam 9 malam tadi laporan sudah dibuat wakil Japerun Lendu, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah, selain Pergerakan Pemuda Bahagian Hang Tuah Jaya serta Alor Gajah.

Sementara itu Dayang Senandong berkata, pihak berkenaan sepatutnya menyelidik dan melakukan semakan terlebih dulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Selidik dulu apa yang berlaku dalam kelab berkenaan bukan menuduh pihak tidak sepatutnya. Kami tampil membuat laporan ini atas inisiatif sendiri dan rasa tanggungjawab ,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6542
Kongsi :
Previous post KPT alu-alukan penubuhan universiti wanita
Next post Melaka fokus jadi hab pendidikan global – KM
Ubah saiz-+=