Melaka fokus jadi hab pendidikan global – KM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 23 September – Lebih banyak institusi pengajian tinggi dipelawa untuk beroperasi di Melaka bagi merealisasikan perancangan menjadikan negeri ini sebagai hab pendidikan global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hasrat menjadikan Melaka sebagai hab itu mampu direalisasikan berdasarkan jumlah terkini kampus universiti dan kolej di negeri ini.

“Setakat ini 29 universiti beroperasi di Negeri Melaka, jika dicampur institut latihan keseluruhannya adalah 37 buah.

“Justeru, saya mempelawa pihak universiti, pensyarah, penyelidik dan para pelajar khususnya UTeM (Univerisiti Teknikal Malaysia Melaka) terlibat dengan lebih aktif bersama Kerajaan Melaka dalam bidang pendidikan.

“Bersama kita fokus dalam bidang penyelidikan, pengkomersialan dan inisiatif serta aktiviti sukarela, demi membangunkan komuniti di Negeri Melaka ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program KPT Prihatin UTeM Sejahtera, di sini, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UTeM Prof Ts. Dr. Massila Kamalrudin serta Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff.

Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri juga mementingkan aspek kebajikan penuntut universiti dan perkara itu dibuktikan menerusi inisiatif seperti ‘Care Kolej’.

Menerusi inisitif itu anak Negeri Melaka diberikan bantuan secara ‘one-off’ RM1,000 bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Melaka (UniMel) dan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST).

“Bagi peminjam Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) yang mendapat Ijazah Kelas Pertama pula ditukar daripada pinjaman kepada biasiswa dan diskaun 20 peratus kepada yang membuat bayaran balik pinjaman sekali gus.

“Manakala anak Melaka yang berjaya melanjutkan pelajaran, bantuan one-off RM300 diberikan kepada pelajar diploma dan RM400 untuk yang mengikuti kursus peringkat ijazah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1911
Kongsi :
Previous post Selidik dulu bang, sebelum marah
Next post Briged Sukarelawan IPT sedia hadapi tengkujuh
Ubah saiz-+=