Seludup daun ketum bernilai RM234,000 ke negara jiran tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA KEDAH 17 Jun -Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan seludup daun ketum seberat 1.3 tan ke negara jiran selepas menahan tiga lelaki tempatan di muara Kuala Kedah di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai bot berkenaan yang dipercayai sedang bergerak keluar muara Kuala Kedah untuk aktiviti penyeludupan.

Katanya, hasil maklumat itu pihaknya berjaya mengesan bot terbabit dalam keadaan bergelap pada kedudukan satu batu nautika barat muara Kuala Kedah pada jam 2.20 pagi.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot namun berjaya dipintas oleh bot ronda APMM.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum seberat 1.3 tan yang dianggarkan bernilai RM234,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

PEMERIKSAAN anggota APMM Zon Maritim Kuala Kedah terhadap bot yang dipercayai menyeludup daun ketum ke negara jiran. Foto Facebook APMM

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut mendapati, tiga suspek lelaki warga tempatan berusia antara 33 hingga 39 tahun berasal dari kawasan berdekatan dan telah menerima upah sebanyak RM200 seorang bagi satu perjalanan penghantaran.

“Daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan daun ketum telah dikeluarkan dari senarai dadah berbahaya di negara jiran dan mendapat permintaan serta harga jualan yang lebih tinggi berbanding di dalam negara yang hanya dijual RM30 sekilo.

“Susulan itu, tiga suspek ditahan manakala semua bungkusan hitam itu serta bot nelayan dianggarkan bernilai RM70,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Noor Azreyanti berkata kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Katanya, kes itu merupakan tangkapan kedua melibatkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1091
Kongsi :
Previous post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Jumaat, 17 Jun 2022
Next post Dua pelajar pondok yang hilang ketika mandi sungai ditemukan lemas
Ubah saiz-+=