Sorting by

×

Semarak Uniti Keluarga Malaysia dipergiat di peringkat akar umbi

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

JEMPOL, 4 Jun – Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia akan terus dipergiat di peringkat akar umbi bagi mendukung usaha kerajaan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata program itu menjadi platform integrasi untuk membina dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata bertemakan ‘Merakyatkan Perpaduan Keluarga Malaysia’, Parlimen Jempol dipilih sebagai lokasi pertama bagi menjayakan program tersebut yang berlangsung hari ini dan esok.

“Program ini bagi menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia yang berteraskan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Inilah pendekatan yang ditekankan oleh kementerian bagi memastikan program-program perpaduan dapat didengari, dilihat dan dirasai seluruh Keluarga Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Felda Wilayah Raja Alias di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Halimah berkata pelaksanaan program itu bukan bersifat sementara sebaliknya ia berterusan dan diperluas ke seluruh negara meliputi peringkat daerah, Parlimen dan komuniti.

Beliau berkata antara pengisian program hari ini adalah memberikan penerangan mengenai Adat Pepatih yang penting untuk difahami dan dihormati kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di sini.

Menurutnya rakyat di negara ini memiliki nilai perpaduan yang kuat dan ia dapat dilihat apabila masyarakat berbilang kaum di seluruh negara saling menyalurkan bantuan kepada penduduk di beberapa negeri terkesan banjir besar tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian negara dijangka selesai Julai ini.

“Kajian ini adalah kerjasama dengan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia dan mereka sedang dalam peringkat akhir bagi memantapkan kajian itu, kemudian saya akan bawakan segala dapatan kajian untuk dibentangkan kepada Kabinet,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1305
Kongsi :
Previous post Pusat latihan ketiga MPI di Cyberjaya dijangka beroperasi Ogos
Next post Melaka United ‘tibai’ Johor 27-0
Ubah saiz-+=