
SEMARAK WARISAN DAN TRADISI, PESTA PANTAI JADI ACARA TAHUNAN
TANJUNG BIDARA 14 September – Kerajaan Negeri komited mahu mengangkat Pesta Pantai Tanjung Bidara sebagai acara tahunan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu bertujuan menyemai semangat perpaduan, memelihara warisan budaya dan mengangkat martabat tradisi agar terus hidup merentas generasi.
Katanya, sambutan yang diterima selama dua tahun berturut-turut sangat positif yang mana pada 2024 kehadiran mencecah 20,000 pengunjung manakala 2025 melebihi sasaran iaitu lebih 25,000 orang.
“Penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara terus mendapat sambutan luar biasa apabila dibanjiri ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri termasuk Singapura sepanjang tiga hari penganjuran.
“Penganjuran pesta pantai bukan sekadar acara santai tetapi manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh semangat kebersamaan selain merancakkan ekonomi setempat.
“Antara yang menggamit kunjungan adalah menerusi lebih 40 program disediakan termasuk Malam Berselawat Menyemai Cinta Rasul, Karnival Kerjaya MYFutureJobs, sukan rakyat, dan beberapa acara pantai menampilkan pameran jet ski vintage-retro, joy ride, flyboard dan banana boat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Pantai Tanjung Bidara Tahun 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pada pesta pantai tersebut, turut diadakan pertandingan membabitkan seni warisan antaranya pertandingan Raja dan Ratu Dondang Sayang, pertandingan permainan tradisional seperti dam aji, konda kondi, congkak dan karom.
“Sambutan sejak hari pertama amat luar biasa. Malah ada pengunjung sanggup datang seawal pagi, malah dari Singapura semata-mata untuk menyertai aktiviti menarik sepanjang pesta ini.
“Kerajaan Negeri komited menjadikan pesta pantai sebagai acara tahunan demi menyemai semangat muhibah, memelihara warisan budaya dan mengangkat martabat tradisi agar terus hidup merentas generasi,” katanya.
Pada acara kemuncak, tiga pengunjung bertuah membawa pulang hadiah utama berupa motosikal menerusi cabutan bertuah manakala juara pertandingan dam haji turut menerima hadiah motosikal.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.