Sembilan pelajar UiTM Lendu disyaki positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MELAKA 11 Nov – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya sembilan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu disyaki positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman memaklumkan kes itu mula dikesan pada 9 Nov selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menerima notifikasi daripada Klinik UiTM Lendu yang memaklumkan terdapat seorang pelajar positif COVID-19 menerusi ujian saringan RTK.

Katanya lagi, terdapat lapan lagi pelajar universiti berkenaan turut mengalami gejala ‘upper respiratory tract symptoms (URTI)’.

Hasil siasatan mendapati kesemua mereka telah menghadiri sebuah program kepimpinan anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada 3 hingga 7 Nov di sebuah resort di Alor Gajah.

“Kesemua sembilan orang pelajar tersebut telah menjalani ujian PCR COVID-19 dan keputusan dijangka akan diperolehi dalam tempoh terdekat.

“Terdapat 45 pelajar telah menghadiri program tersebut dan pelajar-pelajar lain yang menjadi kontak kepada kes disyaki COVID-19 kini sedang dikenalpasti untuk diisolasi sebagai langkah awal mengekang penularan jangkitan.

“Beberapa Kolej Kediaman pelajar di UiTM Lendu, Alor Gajah telah diberikan notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 bermula 11 Nov sehingga 20 Nov ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, pihaknya memandang serius insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

“Orang ramai yang menjadi kontak rapat kepada mereka disarankan untuk kuarantin kendiri serta menghubungi Bilik Gerakan PKD Alor Gajah di talian 06-5566390 untuk saringan kesihatan segera.

“Sehubungan itu, saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka.

“Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected],” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: Najib saran jangan undi ‘katak’
Next post 24 pusat pengundian awal PRN Melaka akan dibuka – SPR
Ubah saiz-+=