PRN Melaka: Najib saran jangan undi ‘katak’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 11 Nov- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluahkan kekecewaannya terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyatie Samsudin kerana didakwa mengkhianati mandat yang diberikan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Memetik laporan The Star, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata beliau tidak mahu memburukkan figura itu, namun Mas Ermieyatie, yang bertanding kerusi Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, adalah antara yang pertama melompat parti selepas PRU14.

“Saya doakan yang terbaik untuk dia (Mas Ermieyati). Tetapi saya berharap pengundi di kawasan Tanjung Bidara akan memilih seseorang yang tidak mempunyai rekod prestasi mengkhianati mandat pengundi,” katanya.

Mas Ermieyati yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bakal berdepan pertembungan tiga penjuru menentang mentornya, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan.

Bercakap mngenai sekatan kempen dalam PRN Melaka, bekas presiden Umno itu berkata, sekatan itu disifatkan sebagai ‘pukul rata’ kepada semua parti yang terlibat bukan sahaja BN.

“BN kini perlu memanfaatkan lebih banyak media massa, terutamanya media sosial, yang mana medium itu kita telah gunakan semasa 22 bulan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, dan ketika itu media arus perdana tidak begitu mesra dengan kita,” jelasnya.

Mengenai peluang BN di Melaka, Najib berkata beliau kekal berharap BN akan terus mentadbir negeri ini memandangkan pertumbuhan ekonomi Melaka jauh lebih baik di bawah era BN sebelum ini.

“Ketika saya berada di Melaka baru-baru ini, orang ramai memberitahu saya bahawa ekonomi tempatan semakin perlahan selepas PRU14.

“Selepas mendengar itu, saya kembali menyemak data daripada Jabatan Perangkaan, dan benar, sentimen tempatan ini dicerminkan dalam data rasmi,” katanya.

Pada 2016, ekonomi Melaka berkembang 5.5% berbanding 5.1% untuk Malaysia. Pada 2017, Melaka berkembang 8.3% berbanding 5.9% untuk Malaysia. Tetapi dari 2018 hingga 2020, pertumbuhan Melaka turun kepada 3.8%, 2.9% dan negatif 5.9%, berbanding 4.8%, 4.3% dan negatif 5.6% untuk Malaysia.

Najib berkata beliau sedang berusaha untuk mengembalikan semula projek kereta api laju (HSR) KL-Singapura kerana Melaka akan menjadi antara penerima manfaat jika projek landasan kereta api itu diteruskan.

“Kami telah memasukkan ini ke dalam manifesto Melaka kami kerana kami percaya ini akan memberi suntikan segera kepada ekonomi tempatan kerana HSR menyelesaikan dua masalah sekaligus: bagaimana untuk merangsang pelancongan bernilai tinggi dan juga mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post UTeM cakna hulur bantuan pada mangsa banjir di Melaka
Next post Sembilan pelajar UiTM Lendu disyaki positif COVID-19
Ubah saiz-+=