Seni silat perlu ada dalam aktiviti kokurikulum sekolah – PESAKA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DUYONG 30 Oktober – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menggalakkan seni silat dijadikan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di setiap sekolah.

Naib Presiden PESAKA, Datuk Arpan Shaari berkata seni mempertahankan diri itu perlu diperluaskan sejak peringkat awal sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Kita telah melancarkan program satu sekolah satu silat yang mana kita mahu sekolah-sekolah di Malaysia menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.

“Kita harap silat dapat berkembang di peringkat awal sama ada di Sekolah Kebangsaan (SK) atau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan sehingga ke pusat penganjian tinggi kerana ramai anak-anak muda perlu diberi pendedahan mengenai ilmu persilatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Persilatan Negeri Melaka 2022 di Perkampungan Hang Tuah Duyong di sini, hari ini

Hadir sama Yang Dipertua PESAKA Melaka, Prof Madya Mohd Ariff Mat Hanafiah.

BBA45F2B-852C-4A03-82B7-1011C99AB425
Naib Presiden Pesaka Malaysia, Datuk Arfan Shaari berucap pada Festival Persilatan Negeri Melaka 2022 di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, Melaka. Foto: MR. AZLI

Dalam pada itu, beliau berharap supaya seni mempertahankan diri itu akan dibawa sehingga ke peringkat sukan olimpik.

“Insya-Allah sekarang kita sudah ke Sukan Asia silat, kita sekarang membuat persiapan supaya silat masuk sehingga ke Sukan Olimpik.

“Cuma kita perlu patuhi syarat, contohnya perlu diiktiraf 50 negara, perlu jalani latihan dari segi penjurian dan sebagainya, kena betul-betul mantap barulah boleh diterima.

“Setakat ini ada lebih 500 guru silat berdaftar di bawah PESAKA, dengan adanya PESAKA kita dapat himpunkan dan bergerak dalam satu pasukan,” katanya.

Festival berkenaan menghimpunkan seramai 30 guru silat dari seluruh negeri yang turut melibatkan 40 peserta silat.

Penganjuran festival itu turut mendapat kerjasama Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3238
Kongsi :
Previous post PRU15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan hotspot
Next post PRU15: BN Melaka sah umum calon Selasa ini
Ubah saiz-+=