Serlah bakat, potensi pemimpin masa depan
TANJUNG BIDARA 21 Mac – Seramai 25 pelajar Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengikuti Kursus Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Villa D’Acqua, di sini, baru-baru ini.
Kesemua mereka merupakan calon yang memenangi pilihan raya MPP yang diadakan 9 Mac lalu.
Penasihat MPP KAYM Noriza Hussain berkata, kursus berkenaan diadakan bertujuan memilih kepimpinan baharu bersesuaian dengan potensi dan keperibadian masing-masing, di samping mengeratkan hubungan sesama pemimpin pelajar.
“Buat pertama kalinya kursus ini dikendalikan tanpa menggunakan sebarang urusetia, jurulatih mahupun fasilitator luar.
“Kita mahu pemimpin pelajar baharu ini dapat menonjolkan bakat dan kebolehan kepimpinan yang ada dalam diri mereka dengan mengendali dan menguruskan sendiri kursus ini dari awal sehingga akhir,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta kursus Willy Jali Anak Dagang yang dipilih sebagai Yang Dipertua MPP KAYM menyatakan rasa teruja kerana memperolehi banyak ilmu tentang kepimpinan yang dapat dimanfaatkan dalam melaksanakan tugas kelak.
“Di samping itu, saya dan peserta mempelajari banyak nilai positif seperti sikap kerjasama dan toleransi dalam kumpulan yang kukuh, mengenali antara satu sama lain dengan lebih erat, keyakinan diri dalam memimpin dan sebagainya.
“Mudah-mudahan selepas ini, kami akan menggalas tanggungjawab dengan lebih baik demi kepentingan bersama terutamanya untuk mahasiswa dan mahasiswi KAYM,” katanya yang berasal dari Sarawak.
Nada sama turut dizahirkan Muhammad Akmal Hafiz Mazlan yang dilantik sebagai Penolong Bendahari MPP KAYM.
Pelajar Sijil Kemahiran Elektrik itu berkata, melalui kursus itu, dia dapat meningkatkan tahap keyakinan diri untuk ke depan dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.