Melaka cukup bekalan telur ayam sepanjang Ramadan – FAMA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BUKIT KATIL 21 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka memberi jaminan bekalan telur ayam untuk negeri Melaka sepanjang Ramadan ini mencukupi.

Pengarahnya, Hairudin Yunos berkata, pertambahan sebanyak 20,000 papan telur ayam disediakan pembekal di negeri ini selepas mengambil kira peningkatan lima hingga 10 peratus permintaan bekalan itu sepanjang Ramadan.

“Sebenarnya menerusi Program Intervensi FAMA yang dilaksanakan, sejak Disember 2022 sehingga 21 Mac (hari ini) bekalan telur di Melaka kepada seluruh pusat operasi FAMA adalah sebanyak lapan juta biji telur.

“Sebab itu kita yakin bekalan sepanjang Ramadan ini memang mencukupi, kita jangka hampir 20,000 papan lagi akan dibekalkan untuk negeri melaka sepanjang bulan Ramadan ini.

“Biarpun bekalan stabil, namun FAMA masih menjalankan program intervensi tersebut bagi memberi jaminan bekalan telur secara berterusan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Melaka Madani 2023 Jualan Pra Ramadan di Tapak Pasar Tani Hadapan Dewan Tun Ali Bukit Katil di sini, hari ini.

photo1679380477
Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan ke gerai peniaga pada Majlis Perasmian Melaka Madani 2023 Jualan Pra Ramadan di Tapak Pasar Tani Bukit Katil. Foto Iqmal Haqim Rosman

Perasmian itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengerusi Yayasan DMDI Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengerusi Biro Ekonomi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datin Seri Azreen Abu Noh.

Mengulas lanjut, Hairudin berkata, FAMA Melaka juga menubuhkan Egg Action Team (EAT) di Melaka bagi memantau bekalan telur ayam di negeri ini.

“Daripada tinjauan kita lakukan, bekalan telur di Melaka seminggu memerlukan hampir 10,000 papan telur, dalam dua ke tiga bulan lepas sahaja kita bekalkan hampir 32,000 papan.

“Setakat ini kita tidak menerima aduan bekalan telur tidak cukup daripada mana-mana peniaga makanan atau pembuat kuih raya, sebab pasukan EAT kita sentiasa pantau bekalan termasuklah harga telur tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1818
Kongsi :
Previous post Alor Gajah diiktiraf 10 bandar paling bahagia
Next post Serlah bakat, potensi pemimpin masa depan
Ubah saiz-+=