Seronok teman anak pilih baju raya

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

LENDU 6 April – Melihat dua anaknya ceria selepas menerima sumbangan baju raya, sudah cukup menggembirakan Irwan shah Ibrahim, 39, sebelum ini kusut memikirkan bagaimana mahu menyediakan pakaian baharu bagi digayakan lima cahaya matanya pada pagi 1 Syawal nanti.

Bapa tunggal ini berkata, selepas pemergian arwah isteri akibat COVID-19 pada 2021 dia menggalas sepenuhnya tanggungjawab membesarkan lima anak berusia enam hingga 13 tahun.

Katanya bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap bulanan menambahkan lagi cabarannya khusus dalam membesarkan lima anaknya apabila menyentuh aspek kewangan.

“Mujur anak-anak faham, mereka sudah biasa bila sudah penghujung Ramadan baru dapat baju raya. Sebagai bapa memang saya utamakan keperluan anak sekurang-kurangnya sepasang baju seorang, kalau ada rezeki lebih dapatlah dua pasang.

“Tetapi tahun ini memang agak mencabar kerana anak-anak baru masuk sesi baharu persekolahan, kita menyambut Ramadan dan tidak lama lagi sudah hari raya.

“Alhamdulillah bantuan diterima ini amat melegakan saya, sekurang-kurangnya sudah lepas belanja baju raya untuk dua anak,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Raya Bersama Pemuda, anjuran Pemuda Umno Bahagian Masjid Tanah bersama Archway Mapping Services Sdn Bhd di sebuah kedai menjual pakaian di Pekan Masjid Tanah.

Photo1712384992
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, turut hadir menyantuni penerima sumbangan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Program itu dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Pemuda Umno Negeri Melaka Abdul Hakim Abdul Wahid yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri dan Pengarah Urusan Kumpulan Archway Mapping Services Mohd Ashraf Ahmad.

Selain memilih baju raya sendiri seramai 120 peserta diraikan pada program itu turut menerima sumbangan duit raya.

Photo1712385686

MOHD Afandy membantu anaknya memilih baju raya. Foto Iqmal Haqim Rosman

Seorang lagi penerima Mohd Afandy Abd Razak, 32, berkata, program itu amat melegakan dirinya berikutan jadual pembayaran gaji akan datang adalah pada 10 April ini.

“Sumbangan baju raya diterima anak memang melegakan saya kerana tarikh gaji lambat lagi. Jadi belanja untuk baju anak boleh digunakan untuk beli atau sediakan keperluan lain lebih mendeak menjelang Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post Orang Melaka dilarang makan kupang, dwicengkerang – DOF
Next post Pemuda teruskan tradisi kongsi rezeki
Ubah saiz-+=