Pemuda teruskan tradisi kongsi rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

LENDU 6 April – Tradisi berkongsi rezeki bersempena Ramadan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, diteruskan lagi pada tahun ini dengan mensasarkan golongan asnaf dan mereka kurang berkemampuan.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka Abdul Hakim Abdul Wahid yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, kali ini mereka sekali lagi bersama-sama Archway Mapping Services Sdn Bhd berganding bahu untuk menceriakan dan menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi sumbangan baju raya.

Katanya, menerusi program itu seramai 120 kanak-kanak dari beberapa Dewan Udangan Negeri (DUN) sekitar Parlimen Masjid Tanah diberi peluang untuk memilih sendiri baju baru mengikut kemahuan mereka selain turut menerima sumbangan duit raya.

“Tumpuan bukan sahaja kepada asnaf sebaliknya ibu bapa yang ada ramai anak, contoh enam atau tujuh orang. Dalam suasana sekarang mungkin mereka berasa agak terbeban untuk sediakan baju raya, tambahan pula anak-anak baru sahaja memulakan sesi baharu persekolahan.

“Tradisi kongsi rezeki tidak asing bagi kami yang sentiasa berusaha membantu meringankan rakyat pelbagai peringkat khusus orang kampung.

“Harapan saya adalah agar program kali ini memberikan kesan kepada penerima, biarlah mereka turut berasa gembira sama seperti umat Islam yang lain pada pagi 1 Syawal nanti,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Raya Bersama Pemuda, anjuran Pemuda Umno Bahagian Masjid Tanah bersama Archway Mapping Services di sebuah kedai menjual pakaian di Pekan Masjid Tanah.

Photo1712385186

ABDUL Hakim bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bergambar bersama, Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah dan wakil Archway Mapping Services. Foto Iqmal Haqim Rosman

Program itu dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Pengarah Urusan Kumpulan Archway Mapping Services Mohd Ashraf Ahmad.

Abdul Hakim berkata, selain program berbentuk serahan sumbangan, Pemuda UMNO seluruh Melaka juga aktif dalam aktiviti berbentuk kerohanian, keagamaan, kesukarelawanan dan pelbagai lagi sepanjang Ramadan ini.

Photo1712384992 (1)
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membantu peserta memilih baju raya. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Penyelaras Pemuda setiap DUN juga aktif mengatur pelbagai program, contohnya menganjurkan ziarah sahur dan menyediakan bubur lambuk serta pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

31
Kongsi :
Previous post Seronok teman anak pilih baju raya
Next post Lampu warna-warni ‘hidupkan’ suasana malam di Jasin
Ubah saiz-+=