Seru lebih ramai belia bukan bumiputera sertai program anjuran kerajaan

Masa Membaca:59 Saat

KUANTAN, 29 Mei – Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker menyeru lebih ramai belia bukan Bumiputera untuk tampil ke hadapan dan melibatkan diri dalam program anjuran kerajaan.

Beliau berkata program kerajaan tidak akan berjaya mencapai matlamatnya sekiranya hanya melibatkan selapis masyarakat dan tanpa penglibatan keseluruhan Keluarga Malaysia.

“Setiap komuniti ada kekuatan masing-masing dan kejayaan lebih baik boleh dicapai jika semua pihak berganding bahu dan bekerjasama,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Malaysia Sports League (MSL) Bera di Kampung Baru Kerayong, Bera, hari ini.

Sebagai contoh, Ti merujuk kepada kemasukan pelatih di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang dilihat amat memerlukan sambutan belia bukan Bumiputera memandangkan latihan yang diberikan amat baik dan memenuhi kehendak industri.

Menurut Ti, ILKBS merupakan antara platform untuk belia mengasah serta meningkatkan kemahiran dan melatih semula kemahiran dalam tempoh masa pendek, namun sangat membantu meningkatkan kemahiran dan kerjaya dalam jangka masa panjang.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dengan menghapuskan stigma yang kurang enak berkaitan ILKBS kerana kebolehpasaran yang sangat tinggi iaitu 95 peratus selain ia juga membantu negara menghasilkan lebih ramai belia berkemahiran tinggi,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

950
Kongsi :
Previous post KPM kaji isu berkaitan guru warden asrama – Radzi
Next post Kaji keperluan tambah TABIKA KEMAS – Mahdzir
Ubah saiz-+=