Kaji keperluan tambah TABIKA KEMAS – Mahdzir

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 29 Mei – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sentiasa mengkaji keperluan penambahan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) seluruh di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penambahan TABIKA KEMAS dilihat perlu bukan sahaja atas permintaan sebaliknya bagi mengelakkan berlakunya lambakan pelajar di sesebuah tabika.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 10,765 TABIKA KEMAS di seluruh negara dengan jumlah murid 215,565 orang.

“Bila ada perumahan baharu tuntut untuk dirikan TABIKA dan ada keperluan memang akan dibuka. Setiap tahun anggaran permohonan diterima di setiap negeri antara lima hingga ke 10 buah.

“Kita kaji dari masa ke semasa bukan sahaja di pinggir bandar malah di luar bandar juga ia bergantung kepada kawasan selain ini memerlukan sedikit bajet bagi pembukaan baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) KE-II/2022 Dan Kelab Wawasan Anak Muda Perintis Intelektual Semalaysia (WARIS), di Ayer Keroh, hari ini.

Menurut beliau, apabila mendapati TABIKA di sesebuah kawasan mempunyai jumlah murid yang ramai, KEMAS bersedia membuka cawangan baharu bagi menampung keperluan semasa.

“Satu lagi kita akan buka apabila murid terlampau ramai di satu tempat kalau kita longgokkan di satu tempat jadinya tidak eloklah.

“Satu kelas sekurang-kurangnya perlu dalam 20 hingga 30 orang sahaja sekiranya lebih daripada jumlah itu kena buka kelas baharu,” katanya.

Sementara itu, Mahadzir berkata, pihaknya masih menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia susulan cadangan untuk menaikkan elaun pembantu TABIKA KEMAS menjadi RM800 sebulan.

“Kita sudah bawa ke kementerian tetapi masih belum mendapat jawapan dan diharap jawapan itu nanti positif.

“Pada waktu ini elaun diterima kira-kira 11,000 orang ini RM500. Mereka ini sukarelawan apabila sudah lama ada kemahiran banyak kerja yang hendak dibuat jadi eloklah dipertingkatkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1224
Kongsi :
Previous post Seru lebih ramai belia bukan bumiputera sertai program anjuran kerajaan
Next post Peniaga ayam, telur dikompaun RM256,800 sejak 5 Feb – Rosol
Ubah saiz-+=