Shahidan kembali terajui KOM selepas sedekad

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kembali memimpin Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas 10 tahun apabila berjaya menewaskan penyandang Presiden Datuk SM Muthu dengan perbezaan empat undi.

Pemilihan bagi penggal 2022-2025 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini, menyaksikan Shahidan menerima 20 undi berbanding Muthu yang mendapat 16, manakala seorang lagi calon Nur Hayati Karim menarik diri.

Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perlis (POAPs), memegang jawatan nombor satu KOM dari 2006 hingga 2012, namun tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu berjaya menduduki kerusi itu selepas menewaskan ‘gurunya’ Karim Ibrahim pada pemilihan bagi 2019-2022.

Shahidan yang ditemui pemberita berkata keutamaannya sebagai Presiden adalah atlet dan meningkatkan prestasi sukan olahraga di peringkat Sukan SEA, Asia, Komanwel dan seterusnya di Olimpik.

“Prestasi yang cemerlang dah pamerkan dalam (Persatuan) Renang Malaysia, jadi untuk olahraga, bagi peluang dulu. Saya akan buktikan dulu, yang paling dekat Sukan SEA Kemboja Mei depan.

“Boleh tanya soalan kepada saya selepas Sukan SEA nanti setelah melihat prestasi pasukan. Kita akan bincang mengenai pelantikan Pengerusi kejurulatihan dan perkara-perkara penting yang lain dalam mesyuarat pertama kita dalam masa terdekat,” katanya.

Perebutan bagi kerusi Timbalan Presiden menyaksikan Datuk Fadzil Abu Bakar dan Datuk Seri V. Pulanthiran terikat apabila masing-masing menerima 18 undi, namun Fadzil diangkat sebagai pemenang selepas mendapat undi daripada pengerusi mesyuarat.

Penyandang Datuk Mumtaz Jaafar tidak dapat mempertahankan jawatan itu selepas badan induk negerinya iaitu Persatuan Olahraga Selangor dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan sebelum ini.

Bagi empat jawatan Naib Presiden pula, dua penyandang iaitu Josephine Kang dengan 35 undi dan Datuk Mark William Ling (23) berjaya mempertahankan kerusi itu, Sallehuddin Satar (31) dan Syamsul Bani Abdullah (29) menjadi muka baharu manakala penyandang Datuk R. Annamalai tewas dengan memperoleh 22 undi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1230
Kongsi :
Previous post Peniaga diingatkan beretika, tolak ansur elak perselisihan dengan pelanggan
Next post PDRM cadang akta dadah dipinda
Ubah saiz-+=