Sorting by

×

PDRM cadang akta dadah dipinda

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya kerajaan meminda akta berkaitan penyalahgunaan dadah selaras perkembangan semasa penggunaan bahan terlarang itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah mencadangkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi.

Katanya, sebagai contoh, jenis dadah yang kini banyak disalah guna penagih di negara ini adalah syabu dan pil ekstasi berbanding heroin.

“Sebelum ini, bagi heroin 15 gram memang hukuman gantung (tetapi) bagi syabu dan pil ekstasi ialah 50 gram (hukuman gantung)… jadi kita nak kurangkan lagi (hukuman dikenakan bagi berat syabu kepada 15 gram).

“Bagi syabu pun kita nak kurangkan 15 gram sebab sekarang ini banyak yang digunakan oleh penagih dadah adalah syabu, itu yang perlu kita pinda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan forum dalam Seminar Seminar Isu Sosial Masyarakat 2022 diadakan di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata pihaknya turut menyenaraikan bahan kimia lain yang terlarang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis baharu seperti syabu, ketamin, pil yaba dan pil kuda.

“Saya katakan tadi di negara luar ada lebih 900 lebih bahan-bahan yang disenaraikan sebagai bahan yang tersenarai (larangan).

“Kita baru ada lebih 60 (bahan kimia terlarang), itu disenaraikan yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1398
Kongsi :
Previous post Shahidan kembali terajui KOM selepas sedekad
Next post Malaysia – Arab Saudi setuju tingkat kerjasama dua hala dengan penubuhan SMCC
Ubah saiz-+=