Sidang DUN: Kadar bantuan mangsa bencana dinaikkan

SERI NEGERI 13 Disember – Kadar bantuan kepada mangsa bencana di Negeri Melaka tahun ini dinaikkan dalam usaha berterusan meringankan beban mereka yang terjejas.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata kadar sumbangan bagi bencana banjir dinaikkan daripada antara RM200 hingga RM500 kepada RM300 hingga RM700.

“Sementara itu bencana ribut kadar sedia ada RM1,000 hingga RM3,000 dinaikkan kepada RM2,000 hingga RM4000. Manakala bagi bencana kebakaran kadar sedia ada RM1,000 hingga RM3,000 dinaikkan kepada RM2,000 hingga RM5,000 dan lain-lain bencana antara RM200 hingga RM500 kepada RM300 ke RM500.

“Setakat ini bagi 2022 Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.4 juta kepada 5,769 mangsa bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Rahmad berkata, sebagai persediaan banjir Kerajaan Negeri membelanjakan RM195,000 bagi menyediakan tiga unit bot penyelamat bagi ditempatkan di setiap daerah.

Selain itu katanya Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan RM9,125 bagi tujuan persiapan pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebanyak RM39,115 dibelanjakan bagi kelengkapan serta peralatan PPS dalam usaha menjaga kebajikan mangsa.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Previous post Mangsa banjir di Pahang, Perak, Terengganu dan Johor meningkat, Kelantan kekal
Next post Sidang DUN: Alor Gajah kawasan perindustrian baharu bertaraf dunia – Exco