Sindiket jual darjah kebesaran palsu calar imej kerajaan negeri

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Kerajaan Melaka tidak akan berkompromi dalam isu sindiket pemalsuan watikah dan pingat darjah kebesaran negeri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kegiatan itu menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri berikutan setiap penganugerahan pingat kebesaran perlu dilakukan mengikut undang-undang dan disampaikan sendiri oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil jalan pintas bagi mendapatkan pingat atau bintang darjah kebesaran negeri itu tanpa melalui agensi yang sepatutnya.

PINGAT dan bintang darjah kebesaran palsu negeri Melaka yang dirampas.

“Pastikan tawaran itu datang daripada pihak kerajaan negeri bukan daripada orang perseorangan yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri Melaka.

“Kita ada unit-unit yang bertanggungjawab mengendalikan pengurniaan darjah kebesaran yang mana ia telah diwartakan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Seri Negeri, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, individu yang menerima darjah kebesaran itu akan melalui prosedur penerimaan anugerah.

SULAIMAN (kanan) melihat watikah, palsu negeri Melaka yang dirampas sambil ditunjukkan Abdul Majid (kanan)

β€œDia mesti dipanggil dan akan melalui proses raptai serta penerimaan surat tawaran sebelum disampaikan sendiri Tuan Yang Terutama (Tun Mohd Ali),” katanya.

Terdahulu, MHI melaporkan polis Melaka berjaya menumpaskan kegiatan sindiket pemalsuan watikah dan darjah kebesaran negeri Melaka hasil tangkapan berasingan di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor yang dijalankan antara 22 Februari hingga 29 Mac lalu.

Sindiket didalangi dua individu berusia lingkungan 40-an dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak awal tahun ini dan menjual watikah, pingat dan bintang palsu darjah kebesaran negeri Melaka dengan harga antara RM50,000 hingga RM100,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1391
Kongsi :
Previous post Peniaga kacang pool ‘tular’ dibantu
Next post Warga Amerika Syarikat pilih Malaysia sebagai ‘rumah kedua’
Ubah saiz-+=