Sorting by

×

Sindiket penipuan tawaran kerja di Cyberjaya tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SEPANG, 4 Ogos – Polis menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan kerugian RM843,996 yang beroperasi di premis kediaman di Cyberjaya dalam satu serbuan pada 2 Ogos (Selasa).

Dalam serbuan di Cyberjaya itu, lima individu berumur 17 hingga 32 tahun termasuk seorang warga asing ditahan selain lima komputer riba dan lima telefon bimbit turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam sidang media di sini hari ini berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi beberapa bulan lepas dan mangsa sindiket dikatakan perlu menjadi jurujual produk dengan tawaran gaji lumayan dan komisen sampingan.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan membuat iklan tawaran kerja di laman Facebook dan Instagram dan apabila terdapat mangsa memohon kerja, sindiket akan memberi tugasan kepada mangsa untuk menjual produk daripada syarikat dalam talian yang dicipta oleh sindiket.

Bagi setiap produk yang berjaya dijual, mangsa kononnya akan menerima 10 peratus komisen dan ia diterima sehingga tiga kali pembayaran.

Wan Kamarul Azran berkata kegiatan sindiket itu terbongkar apabila mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar universiti mendakwa tidak menerima komisen seperti yang dijanjikan manakala pelanggan yang membeli turut mendakwa tidak menerima sebarang produk.

Beliau berkata sindiket itu menggunakan 22 akaun keldai bagi transaksi penjualan produk tidak wujud, serta telah melibatkan 31 mangsa yang terdiri daripada ‘rekrut dan pelanggan’ hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM843,996.

“Kerugian tertinggi yang direkodkan adalah melibatkan seorang pelajar universiti dari Cheras iaitu sebanyak RM49,000 serta 22 akaun keldai berkenaan juga dalam proses dibekukan dan pemilik akaun itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam (3 Ogos) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post 96 kontraktor G1 Melaka terpilih selenggara infrastruktur
Next post Bina ban elak limpahan air sungai
Ubah saiz-+=