Sistem saraan baharu tertakluk kedudukan kewangan kerajaan – KSN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA TERENGGANU, 13 Feb – Pelaksanaan sistem saraan baharu untuk kakitangan awam adalah tertakluk kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun memberi perhatian terhadap perkara itu dengan proses pembaharuan sistem berkenaan masih dalam peringkat kajian.

“Jawatankuasa pembaharuan perkhidmatan awam yang dipengerusikan Perdana Menteri akan meneliti perkara ini. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah membuat kajian dan melantik konsultan, jadi kita tunggulah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Program Latihan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Terengganu oleh Menteri Besar Datuk Dr Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi kerajaan juga meneliti perkara itu susulan garis kemiskinan negara telah meningkat, dengan pendapatan isi rumah RM2,008 sudah dikira miskin.

Awal hari ini, CUEPACS sekali lagi menggesa kerajaan meneliti semula tuntutan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang disifatkan tidak lagi relevan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata pendapatan penjawat awam masih lagi di bawah garis kemiskinan dan jauh untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam perkembangan lain, mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kembali berpolitik, Mohd Zuki berkata pekeliling mengenai perkara berkenaan sedang dibuat oleh JPA.

“Kita tengok apa yang akan keluar melalui pekeliling tersebut, PM (perdana menteri) kata tak adil kalau hadkan kepada beberapa jabatan sahaja, tapi kena lihat implikasi daripada apa yang dibenarkan.

Tapi saya jangkakan untuk sementara ini hanya petugas Kemas dan guru memang dibenarkan (berpolitik). JPA dalam peringkat akhir untuk keluarkan garis panduan, draf sudah ada, akan keluar dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 22 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memutuskan untuk membenarkan guru dan petugas Kemas kembali berpolitik, yang berkuat kuasa serta-merta.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1029
Kongsi :
Previous post Bola sepak Perak: Muhammad Yadzan dakwa dirinya Presiden PAFA yang sah
Next post Penganjur majlis, pemimpin politik dikompaun langgar SOP
Ubah saiz-+=