Sorting by

×

SK KAMPUNG GELAM PERLUKAN DEWAN TERBUKA – EXCO

Masa Membaca:59 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Cadangan pembinaan dewan terbuka berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam disenaraikan sebagai salah satu keperluan pembangunan mendesak di bawah Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, permohonan itu dimasukkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dalam senarai rasmi untuk perhatian pihak kementerian.

“Permohonan ini akan diangkat bersama permohonan pembangunan lain dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Rolling Plan 1 (RP1) kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan peruntukan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tuminah Kadi @Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, proses pelaksanaan pembinaan dewan itu tertakluk kepada kelulusan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi di bawah kerangka RP1.

“Jabatan Pendidikan Negeri Melaka akan terus memantau dan bekerjasama rapat dengan Bahagian Pembangunan KPM bagi memastikan permohonan ini diberi pertimbangan agar pembinaannya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, dewan terbuka itu bukan sahaja untuk keselamatan dan keselesaan murid, tetapi bagi menyokong pelaksanaan aktiviti luar dan dalam sekolah secara lebih teratur serta kondusif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

242
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS TERIMA PERUNTUKAN TERTINGGI DALAM BANTUAN JKM MELAKA
Next post MELAKA SERIUS GEMPUR TREND VAPE DALAM KALANGAN REMAJA