SKM salurkan peruntukan menerusi tiga program di bawah PEMULIH

Masa Membaca:2 Minit, 50 Saat

AYER KEROH, 21 Sept – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka menerusi tiga Program Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi menyalurkan peruntukan bernilai RM1.39 juta bagi membantu koperasi terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengarahnya, Mohd Firdaus Shaari berkata, menerusi program berkenaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyalurkan peruntukan itu menerusi inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi membantu kelangsungan operasi koperasi yang terkesan.

Katanya, tiga program berkenaan adalah Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) serta Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER).

PROGRAM PENUBUHAN KOPERASI PRIHATIN RAKYAT

“Bagi program KPR, SKM negeri menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM300,000 dalam membantu penubuhan koperasi ba-
haru kepada golongan sasar usahawan terjejas, golongan hilang pendapatan dan siswazah menganggur yang mana kita galakkan penubuhan koperasi di kalangan mereka dengan pemberian insentif sehingga
maksimum RM100,000 bagi setiap koperasi tertakluk kepada projek yang akan dilaksanakan.

“Sebagai contoh, pekerja di dalam sektor perhotelan yang ada kalangan pekerjanya hilang punca pendapatan apabila diberhentikan kerja, jadi mereka tubuhkan koperasi dengan mengusahakan sesuatu
aktiviti pertanian kelompok dengan ahli sekurang-kurangnya 20 orang.

“Jadi kita salurkan sehingga RM100,000 dalam tempoh tiga bulan dengan syarat koperasi berkenaan perlu ada kertas kerja dan projek berkaitan sebelum dinilai untuk diberikan geran terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

PROGRAM JUALAN KOPERASI PRIHATIN RAKYAT

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi JKPR pihaknya menyalurkan insentif sehingga RM90,000 dan setakat ini sebanyak enam koperasi di negeri ini yang menjalankan aktiviti
borong runcit telah dikenalpasti akan mendapat manfaat itu.

Jelasnya, SKM akan memberikan insentif maksimum RM15,000 masing-masing kepada enam koperasi bagi menjalankan program
jualan harga patut di seluruh daerah di Melaka.

“Ia bermakna kita berikan subsidi bagi harga jualan barangan asas seperti beras, contohnya harga jualan bagi sekampit 10 kilogram (kg)
beras RM18, kita berikan subsidi sebanyak RM2.70 iaitu 15 peratus dan koperasi berkenaan boleh menjual dengan harga RM15.30. Walau bagaimanapun, bagi barang kawalan, ianya adalah tertakluk kepada syarat
dan kelulusan daripada pihak berwajib.

“Manakala menerusi jualan kedai harga patut di bawah program sama, subsidi diberikan bukan sahaja kepada barangan asas namun
terbuka kepada barang keperluan lain seperti makanan basah contohnya ayam dan sayur, lampin pakai buang dan peralatan keselamatan seperti mask dan hand sanitizer.

“Ini bermakna pengurangan barang yang dijual kepada pelanggan sehingga 15 peratus namun dengan syarat koperasi berkenaan mempunyai segala lesen dan kebenaran serta telah mendapat kelulusan daripada pihak berwajib bagi barang kawalan,” katanya.

PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI GERAKAN KOPERASI

Mohd Firdaus berkata, menerusi program TRANSFER yang diperuntukan sebanyak RM1 juta pula memfokuskan kepada koperasi yang
perniagaannya terjejas akibat pandemik namun berhasrat untuk mengembangkan atau menukar aktiviti sedia ada kepada aktiviti sektor lain menerusi mekanisme yang
bersesuaian bagi mengekalkan kestabilan kewangan.

“Sebagai contoh, koperasi yang terlibat di dalam sektor pelancongan yang terjejas kerana sektor pelancongan ditutup, namun berhasrat untuk menjalankan aktiviti lain seperti
mengusahakan tanaman nanas, jadi mereka memerlukan keperluan modal dari segi pembelian benih, mengadakan infrastruktur selain keperluan kepada modal pusingan bagi
menggerakkan semula aktiviti baharu ini.

“Jadi, kita memberikan geran supaya dapat membantu koperasi berkenaan meneruskan operasi perniagaannya di dalam sektor ekonomi yang berbeza,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus, ketiga-tiga program ini bagaimanapun mempunyai garis panduan, terma dan syarat serta kriteria tertentu.

“Antaranya setiap koperasi perlu mengemukakan kertas kerja dan tempoh pelaksanaan bagi semua program terbabit adalah selama setahun selain tertakluk
kepada peruntukan ditetapkan kementerian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

875
Kongsi :
Previous post Melaka dijangka masuk Fasa Tiga PPN Oktober ini- Sulaiman
Next post Melaka negeri pertama adaptasi aplikasi STEP
Ubah saiz-+=