Solat Aidilfitri, takbir raya di masjid dan surau dibenarkan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA 4 Mei. – Solat Sunat Aidilfitri dan takbir raya dibenarkan di masjid dan surau di seluruh negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sahaja.

Kebenaran itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun bagi kawasan dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) solat sunat dan takbir raya adalah tidak dibenarkan.

“Mengenai jumlah kehadiran serta penyertaan jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak adalah mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri,” katanya pada sidang media mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memutuskan aktiviti takbir raya dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“MKN juga membuat keputusan bahawa jamuan selepas solat sunat hari raya di masjid dan surau serta ziarah tanah perkuburan adalah dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri, kecuali di kawasan PKP dan PKPD.

“Bagi juadah, jawatankuasa masjid dan surau digalakkan menyediakannya secara berbungkus dan diedarkan untuk dibawa pulang oleh jemaah,” katanya.

Mengenai aktiviti ziarah tanah perkuburan pula dibenarkan kecuali negeri yang menjalani PKP dan PKPD dengan syarat had tidak lebih enam orang bagi satu lot atau petak kubur serta tidak lebih daripada 30 minit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

593
Kongsi :
Previous post Penjawat awam didakwa palsu tuntutan bayaran katering majlis hari raya
Next post Rumah terbuka Aidilfitri tidak dibenarkan
Ubah saiz-+=