SOP Khas PRN akan dikeluarkan – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER MOLEK 22 Okt. – Kerajaan negeri akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi mengelakkan berlakunya gelombang COVID-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, melalui SOP terbabit, kerajaan negeri akan perincikan lagi dan menambah beberapa SOP khas dan akan diputuskan dalam Majlis Pengurusan dan Pemulihan COVID-19 negeri.

Menurutnya, ia sebagai tambahan SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kempen dan hari mengundi PRN Melaka yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita akan kaji SOP yang dikeluarkan SPR, kalau ada penambahbaikan kita akan perkemaskan serta perincikan diperingkat Mesyuarat Pengurusan COVID-19 Negeri.

“Antara SOP khas SPR ini melibatkan ceramah tidak dibenarkan, walkabout tidak dibenarkan, dan disaran berkempen melalui media sosial dan bergerak menggunakan kenderaan serta buka pembesar suara, itu pun tidak boleh lama di satu tempat, lebih kurang lima hingga tujuh minit sahaja.

“Kita bimbang berlakunya gelombang COVID-19 di negeri ini tercetus semasa PRN nanti sudah pasti menimbulkan kerisauan ramai pihak.

“Justeru itu, saya menyeru rakyat Melaka serta orang luar negeri datang ke sini (Melaka) untuk patuh pada SOP yang disediakan,” katanya

Rahmad Mariman

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, beliau mengharapkan semua jentera parti menitik beratkan soal SOP sepanjang proses berkempen.

Tambahnya,  jentera Melaka mahupun luar disaran untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 sebelum berkempen dan bilik gerakan disaran menyediakan kit ujian COVID-19 sendiri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post Aktiviti trek 10,000 langkah akan diperluaskan
Next post Tekoma wajah baharu Taman Rekreasi Durian Daun
Ubah saiz-+=