SRS dan KRT kurangkan kadar jenayah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KLEBANG 15 Februari – Aktiviti Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang dijalankan di kawasan perumahan mampu membantu mengurangkan kadar jenayah.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, aktiviti sukarela itu secara tidak langsung dapat membantu pihak polis dalam menjaga keselamatan dan keamanan kawasan setempat.

“Tindakan ini berhasil apabila tiga kawasan SRS iaitu SRS Rumah Pangsa Pantai Peringgit, SRS Kampung Bukit Nibong dan SRS Taman Bukit Rambai mencatatkan indeks jenayah sifar sepanjang tahun lalu.

“Rondaan ini secara tidak langsung membantu pihak polis khususnya dalam mengurangkan kadar jenayah di taman atau kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Melaka Bersama KRT dan SRS Daerah Melaka Tengah, di Kompleks Japerun Klebang, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dan Pegawai Perpaduan Daerah Melaka Tengah Nadiatul Ain Md Saharif.

photo_2023-02-15_23-22-16
Pasukan Peronda Wanita daripada Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) berbaris pada Majlis Perjumpaan dan Amanat Ketua Polis Melaka Bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) di Kompleks Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurut beliau, pihak polis bersama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri (JPINN) amat menghargai sokongan daripada anggota masyarakat yang sanggup melakukan tugas secara sukarela.

“Dibawah SRS dan KRT mereka laksanakan sebahagian tugas polis dengan melakukan rondaan, kami amat hargai sokongan yang ditunjukkan ini.

“Selain di Melaka Tengah dan kawasan Klebang ini, kita turut mempunyai SRS dan KRT di daerah lain. Saya bersama JPINN amat berharap kejayaan tiga SRS itu menjadi pemangkin kepada yang lain untuk bergerak aktif dan mengekalkan momentum,” katanya.

Ujar Zainol, pihaknya menyeru kepada masyarakat atau penduduk di kawasan perumahan untuk menubuhkan lebih banyak SRS dan KRT selain dapat bersama-sama dengan polis membanteras jenayah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2116
Kongsi :
Previous post Pembangunan, kebajikan rakyat fokus Ban Hong
Next post Saifuddin minta Ketua Polis Negara timbang cadangan adakan semula sidang media berkala
Ubah saiz-+=