Saifuddin minta Ketua Polis Negara timbang cadangan adakan semula sidang media berkala

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PUTRAJAYA, 16 Feb – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, untuk mempertimbangkan cadangan mengadakan semula sidang media secara berkala kepada pihak media.

Saifuddin Nasution berkata beliau menerima banyak maklum balas daripada rakan-rakan media mengenai ketiadaan sidang media berkala, sehingga menyukarkan mereka mendapatkan perkembangan terbaharu berkenaan sesuatu kes yang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya telah berbincang dan mendengar pandangan daripada PDRM, ada logiknya serta terdapat kemunasabahan untuk mengadakan sesi sidang media semula.

“Saya beri dia (Ketua Polis Negara) peluang untuk mempertimbangkan cadang itu dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas program sesi libat urus media bersama Menteri Dalam Negeri hari ini.

Saifuddin Nasution berkata melalui cara itu, beliau berharap ia dapat merapatkan hubungan antara PDRM dan media sebagai rakan strategik agensi itu.

Mengulas mengenai penggunaan kamera badan kepada anggota polis, Saifuddin Nasution berkata KDN mempunyai peruntukan dan bahagian perolehan sedang memuktamadkan spesifikasinya.

“Apabila penggunaan kamera badan dilaksanakan, anggota polis akan mengguna pakai gajet berkenaan. Saya percaya penggunaan kamera badan akan meningkatkan integriti PDRM, (membantu) mengumpul bukti dan sebagai peringatan kepada mereka (anggota), bahawa mereka diawasi,” katanya.

Mengenai isu pakaian orang awam ketika datang ke pejabat atau balai polis, Saifuddin Nasution berkata perkara berkenaan telah selesai dan tiada isu berbangkit.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan anggota polis yang menghalang orang awam membuat laporan polis dan pada masa sama masyarakat awam perlu ada elemen kesopanan ketika berurusan rasmi dengan PDRM.

Pada Januari lepas, seorang wanita berang selepas tidak dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, berikutan tidak berpakaian sopan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post SRS dan KRT kurangkan kadar jenayah
Next post Konvensyen Hala Tuju Pembangunan Negeri Melaka realisasi hasrat PSMJ 2035
Ubah saiz-+=