Suami derita prostat, keluarga hilang tempat bergantung

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 14 April. – Keluarga seorang penebar roti canai hilang tempat bergantung sejak penebar roti berkenaan, Mohd Tahir Abdul Karim, 57, terlantar akibat barah prostat.

Sejak Januari lalu, dia hanya terlantar di atas katil akibat menderita barah prostat, sekali gus menyebabkan isteri, Noorhayati Mat Jusoh, 52, dan empat anak kehilangan tempat bergantung hidup.

Noorhayati berkata, suaminya menghidap penyakit berkenaan setahun lalu dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa bulan lalu.

“Keadaan suami bertambah buruk sejak Januari lalu yang menyebabkannya tidak dapat berjalan, apatah lagi mencari rezeki menebar roti canai.

“Sekarang kami hanya bergantung kepada ihsan sanak saudara, jiran dan rakan taulan memberikan sumbangan untuk kami meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pinang, di sini, semalam.

Anak sulung mereka, perempuan berusia 23 tahun sudah mendirikan rumah tangga manakala yang kedua, perempuan berusia 19 tahun masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Lendu, Alor Gajah.

Sementara iu, anak ketiga, lelaki berusia 18 tahun mengalami masalah penglihatan dan anak bongsu perempuan masih belajar dalam tingkatan empat.

Mohd Tahir dan Noorhayati sebelum ini berniaga roti canai di Medan Selera Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Bukit Beringin, di sini.

Jika pada Ramadan sebelum ini Mohd Tahir tidak menang tangan menebar roti canai untuk memenuhi permintaan pelanggan menjelang waktu berbuka, kali ini dia tidak lagi mampu berbuat demikian.

Noorhayati berkata, suaminya amat memerlukan katil mudah laras bagi memudahkannya untuk duduk dan turun dari katil ketika ingin ke tandas.

“Kehadiran Ramadan dan Aidilfitri kali ini amat berbeza dengan tahun lalu dan saya semakin buntu memikirkan urusan untuk membawa suami berulang alik ke hospital,” katanya.

Sesiapa yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Noorhayati Mat Jusoh (0402-4021-0195-51) atau menghubunginya dengan menelefon
017-6736249.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

802
Kongsi :
Previous post Vaksin: Pekerja perkilangan, pembuatan di P.Pinang, Selangor diberi keutamaan
Next post Buku PERZIM menang Anugerah Buku Negara 2020/2021
Ubah saiz-+=