Buku PERZIM menang Anugerah Buku Negara 2020/2021

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 April. – Buku Himpunan Kuih-Muih Warisan Tradisional Etnik Melaka terbitan Perbadanan Muzium Melaka memenangi Anugerah Buku Negara 2020/2021, Kategori Buku Warisan minggu lalu.

Anugerah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Drs. Mohd Nasruddin Rahman dalam Majlis Perasmian Anugerah Buku Negara 2020/2021 bersempena UNESCO Kuala Lumpur World Book Capital 2020 (KLXBC) yang berlangsung dari 7 hingga 9 April lalu di Dewan Tun Hussein Onn, Putra World Trade Center (PWTC), Kuala Lumpur.

 

MUSTAPA  (tengah) menyampaikan trofi dan sijil Anugerah Buku Negara 2020/2021 kepada Mohd Nasruddin.

 

Menurut PERZIM, buku berkenaan diterbitkan tahun lalu dengan menyatukan semua resipi dan teknik pembuatan kuih-muih warisan tradisional pelbagai etnik negeri Melaka termasuk kaum Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Orang Asli.

“Buku ini juga adalah dokumentasi yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ daripada warisan budaya tidak ketara negeri Melaka yang dikongsikan dari sekitar ruang dapur dan meja makan, penyatuan budaya dan kepercayaan, asimilisi dalam etnik serta petua dan rahsia resipi keluarga yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagi pencinta budaya dan warisan, buku yang dinilai dan mendapat anugerah di peringkat kebangsaan ini boleh didapatkan di mana-mana muzium di bawah pentadbiran Perbadanan Muzium Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1101
Kongsi :
Previous post Suami derita prostat, keluarga hilang tempat bergantung
Next post Pekerja ulang alik Melaka-Seri Kembangan cetus kluster baharu
Ubah saiz-+=