Suami isteri disiasat abai dua anak bermain di tepi balkoni

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Polis sedang menyiasat sepasang suami isteri kerana disyaki membiarkan dua anak mereka bermain di tepi balkoni tingkap di tingkat 17 sebuah kondominium di Taman Setapak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata ibu bapa kepada kanak-kanak itu telah dipanggil untuk diambil keterangan dan dibenarkan pulang malam tadi.

Beliau berkata satu laporan polis dibuat pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam, susulan tular satu rakaman video kejadian itu di media sosial.

Beliau berkata video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Reff Lia memaparkan dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan dua tahun dibiarkan cuai dan bermain di tepi balkoni tingkap berkenaan yang tidak berpagar.

“Hasil siasatan mendapati ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak berkenaan berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001).

“Pihak polis menasihatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Previous post Remaja perempuan didakwa sebabkan kematian adik lelaki tanpa niat
Next post Tiada kerosakan mesin penapis air milik Siti Bainun – Saksi