Tiada kerosakan mesin penapis air milik Siti Bainun – Saksi

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Seorang pegawai penyiasat kanan hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa tiada sebarang kerosakan berlaku pada mesin penapis air milik pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.

ASP Rohaini Baharom daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata ia berdasarkan dokumen yang diperoleh melalui e-mel daripada seorang ketua eksekutif bahagian sumber manusia syarikat penapis air itu pada 11 Nov 2021.

“Saya kemudian membuat siasatan lanjut daripada dokumen diterima daripada syarikat penapis air itu dan mendapati rekod penyelenggaran bagi tahun 2021 tidak menunjukkan sebarang kerosakan pada mesin penapis air yang didaftarkan atas nama Siti Bainun di kondominium di Wangsa Maju,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes pengasas rumah kebajikan tersebut yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Susulan keterangan Rohaini itu, sekali gus menyanggah cadangan dibuat peguam Siti Bainun sebelum ini yang mendakwa Bella dipancut dan dicurah air panas adalah rekaan semata-mata kerana penapis air di rumah anak guamnya rosak sejak Mac 2021.

Pada prosiding sebelum ini, Yasmin Nahar Mohmood, 19, memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas yang diambilnya daripada mesin penapis air ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.

Bagaimanapun pada prosiding terdahulu, Yasmin yang juga saksi pendakwaan kelima mengakui bahawa kecederaan melecur dialami Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.

Kepada soalan peguam Siti Bainun, Nurul Hafidzah Hassan, mengenai dokumen penyelenggaran mesin penapis air itu tidak ditandatangani oleh Siti Bainun dan saksi itu menjawab tidak setuju.

Nurul Hafidzah: Maksudnya huruf M itu tandatangan Siti Bainun?

Rohaini: Saya tidak pasti.

Nurul Hafidzah: Jadi saya cadangkan apa-apa kesimpulan yang ASP buat berdasarkan e-mel ini tidak konklusif kerana ASP tidak tahu siapa tandatangan (dokumen) itu, setuju?

Rohaini: Tidak setuju.

Ditanya Nurul Hafidzah bagaimana saksi itu mengetahui siapa yang menandatangani dokumen tersebut dan Rohaini menjawab dia mengetahuinya berdasarkan pengesahan daripada juruteknik syarikat mesin penapis air itu.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang ini.

Sementara itu, bekas juruteknik penyelenggara Azrin Aisyah Mohd Razi, 32, memberitahu mahkamah bahawa mesin penapis air milik Siti Bainun berfungsi dalam keadaan baik semasa beliau membuat penyelenggaraan dengan menukar penapis filter mesin tersebut pada 17 Mei tahun lepas.

“Sebelum memulakan penyelenggaran saya perlu memastikan mesin penapis air itu berfungsi dengan baik kerana ia merupakan produk berbentuk digital.

“Kemudian saya menekan butang sentuh untuk mencuba air panas serta air sejuk dan dalam garis panduan syarikat, saya perlu mengambil air panas dan air sejuk untuk pastikan PH air berada dalam keadaan baik,” katanya yang turut memaklumkan Siti Bainun ada memberitahu kepadanya terdapat kebocoran pada penyambung air mesin penapis air itu.

Saksi pendakwaaan ke-21 itu berkata beliau mengambil masa 20 minit untuk melakukan proses penyelenggaran pada mesin penapis air berkenaan dan sebaik urusan penyelenggaraan selesai, Siti Bainun menandatangani pada ruang pelanggan.

Perbicaraan kes itu bersambung esok.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1927
Kongsi :
Previous post Suami isteri disiasat abai dua anak bermain di tepi balkoni
Next post Helikopter bawa petugas perubatan terhempas di Brinchang, kesemuanya terselamat
Ubah saiz-+=